Wednesday, April 29, 2009

KESAN NEGATIF BUDAYA PAKAIAN DI M'SIA

Dalam topik budaya pakaian atau fesyen ini pula, kita tekankan kepada golongan kaum Hawa. Ini kerana golongan kaum Adam tidak banyak masalah atau dengan kata mudah, implikasi negatif ini paling ketara dalam golongan kaum Hawa. Semenjak wujudnya globalisasi dan semakin berkembangnya globalisasi ini, mata kita tidak henti- henti menatap atau melihat pelbagai jenis fesyen pakaian wanita yang menjolok mata. Malahan pakaian- pakaian yang sedemikian pula beharga mahal berbanding pakaian yang labuh dan menutup aurat. Cuba kita lihat pada realiti kehidupan kini, pakaian yang kelihatan seperti ‘tidak cukup kain’ itulah yang digilai ramai remaja perempuan zaman ini. Berdasarkan Firman Allah di bawah:

“Hendaklah mereka tidak menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa tampak pada dirinya” (Surah An-Nur ayat 31)

Huraian: Yang dimaksudkan dengan ‘yang biasa tampak pada dirinya’ adalah wajah dan kedua telapak tangan. Kedua-dua anggota tubuh wanita inilah yang biasa tampak pada kaum muslimah di hadapan Nabi S.A.W dan baginda membiarkannya. Kedua-dua anggota tubuh wanita ini pula yang biasa tampak dalam ibadah-ibadah tertentu seperti haji dan solat. Kedua-dua anggota tubuh wanita ini biasa terlihat pada masa Rasulullah S.A.W, iaitu pada masa ayat al-Quran masih turun. Disamping itu, terdapat hujah lain yang menunjukkan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan kedua telapak tangan.

Antara jenis fesyen pakaian yang digemari rakyat di seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia sekarang adalah seperti seluar Jean Levi’s, Pierre Cardin (pakaian perempuan), Yves Saint Laurent, pakaian sukan Esprit dan pakaian Laura Ashley.

Budaya pakaian seumpama ini adalah cetusan idea artis- artis Malaysia sendiri yang menjadi idola kebanyakan masyarakat. Kemudian, peminat- peminat artis berkenaan akan menjadikan cara pakaian artis kegemaran mereka sebagai ikutan terus menerus sebagai lambang kebanggaan. Di sini ibu bapa amat memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak- anak ke arah yang lebih baik.
Rasulullah saw bersabda:
“Jika seorang anak wanita telah mencapai usia baligh, tidak pantas terlihat dari dirinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangannya.” (Hadith Riwayat Imam Abu Daud daripada Qatadah)

Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan kedua telapak tangannya. Pakaian apapun yang berfungsi sebagai penutup seluruh auratnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangan, dianggap sudah mencukupi walau bagaimanapun bentuknya. Syariat juga menetapkan agar pakaian tersebut menutupi kulit sekaligus warnanya, di mana sekiranya kain penutup itu tipis sehingga tetap menampakkan warna kulitnya, maka ianya masih belum dianggap menutup aurat.

Walaupun demikian, dalam dunia yang sedang berkembang dengan globalisasi kini, kita tidak boleh mencampur adukkan pembahasan tentang penutup aurat dengan pembahasan tentang pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu tentang topik tabarruj (mempamerkan kecantikan).
Meskipun seseorang wanita telah mengenakan seluar panjang yang sudah dapat menutupi aurat dan tidak tipis, tidak beerti bahawa ia boleh memakainya dihadapan lelaki bukan mahram sementara menunjukkan kecantikan dan memperlihatkan perhiasannya. Jika melakukannya, walaupun ia telah menutupi auratnya, ia masih bertabarruj iaitu mempamerkan kecantikan yang tampak pada tubuhnya. Tabarruj dilarang oleh syariat ke atas wanita. Walaupun ia telah menutupi auratnya tetapi belum tentu dianggap tidak bertabarruj. Atas dasar ini, kita tidak boleh mencampurkan pembahasan tentang topik menutup aurat dengan topik tabarruj, kerana kedua- duanya adalah isu yang berlainan.
Firman-firman Allah Swt:
“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung (khimar) ke dadanya dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa tampak pada dirinya.” (Surah An-Nur ayat 31)

Rasulullah saw juga bersabda:
“Aku telah melihat di dalam neraka, aku melihat kebanyakan penghuninya wanita. Sebabnya mereka sedikit yang patuh pada Islam dan Rasulnya, kurang taat kepada suaminya dan kuat bersolek.”

Berdasarkan sabda Rasulullah di atas, dapat difaham dengan jelas bagaimanakah cara pemakaian yang sesuai apabila bergelar seorang wanita dan janganlah terpengaruh dengan fesyen yang secara terang- terangan menyalahi hukum syarak dengan mendedahkan kecantikan seseorang wanita kepada individu yang tidak sepatutnya. Akibat daripada ikutan fesyen yang terlalu berleluasa inilah, masalah akhlak misalnya jenayah rogol semakin berleluasa dalam dunia yang wujudnya globalisasi ini. Alangkah manisnya seorang wanita berpakaian menutup aurat jika dibandingkan dengan berpakaian menjolok mata.

Di dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 tafsirnya :
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi."

Dari ayat di atas tadi, jelas pada kita bahawa pakaian sebilangan remaja kita kini bertentangan dengan suruhan dan perintah Allah. Namun, mereka tidak menghiraukan yang demikian asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini. Ini juga boleh dikategorikan sebagai pakaian ‘2H’ iaitu halal tetapi haram.

No comments:

Post a Comment